Teleport Mencari Komuniti Usahawan di Tujuh Buah Bandar di Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Januari 2021 - Teleport, cabang logistik airasia digital, melancarkan Program Komuniti Usahawan. Program selama dua bulan ini dirangka untuk memberi peluang kepada usahawan di Malaysia mengembangkan perkhidmatan penghantaran Teleport di tujuh buah bandar di Malaysia seperti Ipoh, Seremban, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Miri. 

Individu yang mendaftar untuk program ini dijangka memperoleh sehingga RM3,000 sebulan dan berpeluang untuk mendapat tawaran pekerjaan sepenuh masa dengan Teleport Malaysia. Mereka turut akan dilatih dan ditugaskan untuk memasarkan perkhidmatan penghantaran Teleport dan menguruskan operasi penghantarannya. Para usahawan juga akan diberikan senarai perniagaan untuk dipasarkan, serta akses kepada pelbagai teknologi milik Teleport sepanjang program ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Teleport Pete Chareonwongsak berkata: “Kami teruja untuk melancarkan Program Komuniti Usahawan ini di tujuh buah bandar di Malaysia. Perniagaan kami semakin berkembang, dan pada tahun 2021 ini kami menjangka lebih banyak peluang perniagaan akan tersedia. Program ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia - serta kakitangan AirAsia yang dikenali sebagai Allstars sama ada yang masih berkhidmat atau tidak.

“Kami amat bertuah kerana mempunyai salah seorang juruterbang AirAsia X, Kapten Lim Kok Hooi menyertai pasukan kami dan telah berjaya memasarkan perkhidmatan kami di Melaka semasa fasa percubaan program ini. Dengan program ini, kami berharap untuk bukan sahaja memberikan perkhidmatan penghantaran terbaik, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada masyarakat,” kata Pete.

“Terdapat ramai peniaga di luar sana yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan kami. Banyak yang dapat dipelajari semasa kami bertemu dengan peniaga-peniaga dari industri yang berbeza. Kejayaan kami di Melaka sudah tentu tidak akan terjadi tanpa bantuan pasukan Teleport dan Allstars yang sedia membantu untuk mencapai matlamat tersebut,” kata Kapten Lim.

Proses permohonan untuk program ini sangat mudah. Mohon sebagai individu atau sebagai pasukan yang terdiri daripada dua orang. Pemohon hanya perlu merakam video selama 3-minit yang menjelaskan bagaimana mereka akan mendaftar sebanyak 100 perniagaan di bandar tersebut dalam masa satu minggu.

Program Komuniti Usahawan ini akan bermula pada bulan Februari 2021. Individu yang berminat boleh membuat permohonan di teleport.asia/TheNextTony selewat-lewatnya pada 29 Januari 2021. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai program ini, rujuk kepada soalan-soalan lazim di teleport.asia/community-entrepreneur-faq.

Tonton video komuniti usahawan kami yang memaparkan Kapten Lim Kok Hooi, di pautan ini, https://www.youtube.com/watch?v=OwUmgo4nE6E&feature=youtu.be

Post a Comment

0 Comments