Pelbagai kesan dirasai impak kegawatan ekonomi yang berlaku ketika ini. Di Malaysia, sudah 10,000 pekerja hilang pekerjaan sejak 1 Januari 2009 dan dijangkakan dalam tiga bulan pertama dalam tahun ini lebih ramai yang akan diberhentikan kerja. Dilaporkan di USA , seorang pekerja yang baru diberhentikan kerja telah bertindak nekad membunuh isteri dan 5 orang anaknya sebelum membunuh dirinya sendiri!!! Peristiwa yang tragic ini adalah sebahagian fenomena sosial akibat tekanan hidup yang berat kerana kegawatan ekonomi yang sedang berlaku.
Bagi seorang Muslim, kegawatan yang berlaku adalah satu ujian yang ditakdirkan oleh Allah SWT. Muslim yang percaya kepada qada’ dan qadar akan mengharungi segala ujian dengan tabah dan optimis betapa di sebalik ujian dan dugaan ini pasti menyusul kesenangan dan kemanisan. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman; Aku berasa kagum terhadap hamba-hambaKu yang beriman….. apabila mereka diuji dengan kesenangan mereka bersyukur dan itulah sebaik-baiknya bagi mereka dan apabila mereka diuji dengan kesusahan maka mereka bersabar dan itulah sebaik-baiknya bagi mereka” (riwayat Muslim).
Antara amalan yang patut kita laksanakan dalam keadaan yang gawat ini adalah seperti berikut:
1. Berjimat cermat dan merancang perbelanjaan sebijaknya. Berbelanja hanya pada perkara yang perlu;
2. Banyak berdoa memohon dimurahkan rezeki. Sebahagian ulama juga mengatakan bahawa solat dhuha antara amalan untuk murah rezeki. Tapi janganlah nawaitu untuk solat dhuha “kerana Ringgit Malaysia ”.
3. Menjaga hubungan silaturrahim kerana menjaga hubungan silaturrahim adalah antara amalan yang menjadi punca murah rezeki. “Barangsiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim” (riwayat al Bukhari dan Muslim);
4. Konsisten dalam bersedekah. Nampak pelikkan, dalam susah pun kena konsisten bersedekah??? Terdapat pelbagai hadith yang sahih yang menjelaskan betapa orang yang banyak bersedekah takkan jatuh miskin dan dilipatgandakan rezekinya. Disebutkan dalam sebuah hadith: “Setiap kali menjelang Subuh, turunlah dua Malaikat ke langit dunia. Salah satu di antara mereka berdoa: “Ya Allah kau gantikan (dengan banyaknya) kepada hambaMu yang banyak memberi (bersedekah)” manakala malaikat yang satu lagi berdoa: “Ya Allah kau hilangkan (dengan banyak) bagi orang yang menahan harta mereka (kedekut)” (riwayat Bukhari dan Muslim). Again, ikhlaskan niat kerana Allah jangan sampai sedekah kita kerana “Ringgit Malaysia ”;
5. Sentiasa bersangka baik kepada Allah samada ketika diuji dengan kesenangan atau kepayahan. Jangan terlintas di hati kita perasaan betapa Allah tidak adil dan tidak kasih kepada kita. Yakinlah, apa pun ujian dari Allah pasti ada hikmah yang tersirat. Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.
0 Comments