Sunnatullah dan Syariatullah
Memahami syariatullah , iaitu segala hukum hakam yang termaktub di dalam quran dan hadis. Seorang suami juga, perlu memahami sunnatullah seorang wanita (isteri), yang Allah jadikannya lain dari dirinya.
Seorang wanita, sifatnya lain sifat seorang lelaki,pelengkap dirinya, maka perlu difahami akan hakikat seorang wanita yang perasaannya lebih halus dari dirinya.
*Syariatullah pada seorang suami kepada isteri :
Nafkah zahir - tempat tinggal, makan minum.
Nafkah batin - merasa selamat dibawah naungan suaminya, tempat berteduh bagi dirinya, tempat tumpuan kasih sayang , tempat kemesraan dan segala yang berkait rapat dengan perasaan.
Inilah hak-hak kejiwaan yang perlu dimainkan peranan oleh seorang suami kepada isterinya. Seorang suami perlu juga melihat dunia kekeluargaan dari sudut pandang seorang isteri. Kerana seorang wanita punyai pandangan yang berbeza dari seorang lelaki. Kombinasi pandangannya dan isteri memainkan peranan dalam menjamin keutuhan dan keharmonian keluarga.
Kombinasi antara pengetahuan tentang syariatullah dan kefahaman terhadap sunnatullah , insyaAllah, akan melahirkan keluarga yang penyejuk di mata penawar di hati, bahagia di dunia cemerlang di akhirat.
Uswah hasanah seorang suami merupakan suri tauladan untuk keluarganya. Segala tindak-tanduknya menjadi perhatian seisi keluarganya. Anak-anak lebih mudah meniru apa yang dibuat berbanding mendengar apa yang diucap oleh ayahnya. Seorang isteri juga lebih mudah mengikut apabila suaminya lebih perihatin terhadap dirinya juga perasaannya.
Seorang suami merupakan pemimpin bagi keluarganya. Jadikan diri contoh terbaik di dalam keluarga. Amanah (tanggungjawab) Menjadi seorang suami merupakan amanah besar yang dipikul bagi seorang lelaki. Bila berjayanya akad nikah, maka seorang lelaki memikul tanggungjawab seorang wanita yang sebelumnya berada di bawah tanggungan ayahnya, kini berada di bawah tanggungannya. Didikan, agama, nafkah dan sebagainya yang ditanggung oleh seorang ayah.
Amanah
Perkataan amanah ini perlulah selalu diletakkan di dalam minda bahawa bukan perkara kecil dalam membina daulah islamiyah yang terkecil dalam masyarakat,iaitu keluarga. Ilmu memainkan peranan dalam menjalankan amanah sebagai suami, dan juga amanah apabila sudah bergelar seorang ayah.
Matlamat
Matlamat seorang suami atau ayah atau lelaki, perlulah punyai matlamat kemanakah hala tuju yang ingin dibawa olehnya dalam kehidupan berkeluarga ini. Sama ada ke syurga atau ke neraka?.. Mahu memberikan kemewahan dunia yang sementara dan berpoya-poya selagi nyawa masih ada? Mahu menjadikan anak-anak dan isteri sebagai perhiasan dunia semata atau sehingga ke dalam syurga? Jika mahu dibawa ke syurga, bagaimana caranya, apakah sudah ada?
Matlamat ini perlulah disematkan seboleh-boleh sebelum perkahwinan dilangsungkan , atau selepas bergelar suami. Jika sudah terlajak, masih boleh diperbetulkan matlamat ini, selagi nyawa dikandung badan.
Istiqamah
Istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami, sifat istiqamah atau berterusan dalam melakukan amalan sangat-sangat menjadi titik penting dalam menjaga keharmonian dan juga kesan didikan kepada isi keluarga. Jika seorang suami atau ayah, tidak istiqamah dalam perbuatannya, manakan mungkin dia akan menjadi uswah (ikutan) terbaik bagi isteri dan anak-anaknya.
Didikan seorang ayah / suami yang dalam tegasnya terselit didikan, dalam garangnya punyai asuhan dan dalam tuturnya penuh dengan kemesraan. Semuanya perlulah dalam kadar yang berterusan. Didikan kepada anak-anak dan isteri jika tiada sifat istiqamah ini, boleh runtuh sebuah institusi keluarga.
Kesimpulan
S - Sunnatullah & Syaratullah
U - Uswah hasanah
A - Amanah
M - Matlamat
I - Istiqamah
Sama-sama kita mengambil pengajaran. Buat teman-teman yang bakal melangsungkan perkahwinan pada cuti ni, moga Allah luaskan pintu rezeki buat kalian, dan dikurniakan zuriat yang soleh lagi solehah dan sebagai pengganti risalah Islam di hari kemudian.
Sama-sama muhasabah diri. Jangan difikir tentang hidup berkeluarga jika hanya mahu hidup berdua, tetapi fikirkan juga yang ketiga dan seterusnya. Pengolahan dibuat berdasarkan kefahaman penulis terhadap isu-isu masyarakat.
Zus Wrapped 2024
9 hours ago
0 Comments