Sultan Muhammad Al Fateh

Sultan Muhamad al Fateh dilahirkan pada 27 Rajab 835 Hijrah bersamaan 29 Mac 1432 M dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481.

Ketika berumur 19 tahun beliau menaiki takhta menggantikan ayahnya Sultan Murad dan ketika berusia 21 tahun Sultan Muhamad al Fateh berjaya menakluk kota Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 jamadil awal 857 hijrah.

Kota Konstantinopel yang kini dinamakan Istanbul (Islam keseluruhannya) , terletak di sempadan antara benua Eropah dengan Asia. Ia dihubungkan oleh Selat Bosphorus.

Sebelum itu Kota Konstantinopel pernah cuba ditakluk oleh bangsa Gothik, Parsi, Bulgaria dan Rusia tetapi tidak berjaya. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud.

Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan tentera yang berada di bawahya adalah sebaik-baik pasukan. [H.R. Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335]

Setelah lebih 800 tahun hadis itu diucapkan oleh Rasulullah SAW barulah menjadi kenyataan. Usaha pertama menakluk kota Konstantinopel dilakukan oleh Saidina Ali pada tahun 34 hijrah tetapi tidak berjaya. Kemudian oleh Muawiyah bin Abu Sufyan pada tahun 84 hijrah atau 668 M, tetapi gagal juga.

Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Ayyub Al-Anshari r.a gugur syahid lalu dikebumikan di sisi benteng Konstantinopel. Kemudian usaha itu diteruskan oleh khalifah Harun al Rasyid pada tahun 165 hijrah, Sultan Beyazid dan Sultan Murad tetapi semuanya menemui kegagalan.

Sultan Muhammad Al-Fateh sejak dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim, Syeikh Syamsuddin Al Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad ( ayah kepada Muhammad Al Fateh):

Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota konstantinopel, tetapi anak yang dalam buaian itu, sambil menunjuk Muhammad Al Fateh yang masih di dalam buaian.

Sejak itu Muhammad Al Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar sebagai pemuda yang tampan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.

Beliau mula menaiki takhta ketika umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh. Pernah Maharaja Konstantinopel mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, tetapi beliau menolaknya lalu menyuruh guru-guru tersebut pulang.

Kemudian baginda membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta.

Melihatkan usaha Sultan Muhammad Al Fateh itu, gementarlah hati Constantine, Maharaja Rom. Benteng tersebut siap dalam masa tiga bulan. Dari benteng itu, tentera Islam dapat mengawal dengan rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Dan dari situ juga beliau mempersiapkan tenteranya bagi membebaskan kota Konstantinopel.

Akhirnya pada 29 Mei 1453, Sultan Muhamad al Fateh berjaya menawan kota Konstantinopel. Beliau telah membuktikan kebenaran hadis Nabi Muhamad itu.

Menurut cacatan sejarah peperangan menakluk kota Konstantinopel ini lebih sengit dan hebat dari peperangan menakluk Jerusalem oleh Sultan Salahudin Al Ayubi. Diceritakan Sultan Muhamad Al Fateh berjaya memindahkan kapal-kapal perangnya melalui jalan darat. Atau lebih tepat, kapal belayar di atas daratan. Usaha terakhir itu dilakukannya setelah usaha yang lain menemui kegagalan.

Pada kali pertama hendak mendirikan sembahyang Jumaat, timbul pertanyaan siapakah yang paling layak menjadi imam. Sultan Muhammad Al Fateh memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lalu baginda berkata. Siapa di antara kalian pernah meninggalkan sembahyang? fardhu sila duduk!

Tidak ada seorang pun yang duduk, maknanya tidak seorang pun di antara tenteranya yang pernah meninggalkan sembahyang fardhu. Kemudian Sultan Muhammad Al Fateh berkata lagi, Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib? sila duduk!

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Sultan Muhammad Al Fateh meneruskan pertanyaannya lagi, Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan sembahyang tahajjud? sila duduk!

Kali ini seluruh tenteranya duduk, kecuali seorang. Dia itu tidak lain tidak bukan ialah Sultan Muhammad Al Fateh sendiri. Dialah orang yang tidak pernah meninggalkan sembahyang fardhu, sembahyang sunat rawatib dan sembahyang sunat tahajjud.

Dialah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW, sebaik-baik pemimpin, mempunyai tentera dan rakyat yang baik. Kerana itu berjaya menakluk kota Konstantinopel.

Post a Comment

0 Comments